|
Pencapaian
Sukan Antarabangsa

Pencapaian
negara dalam arena sukan dan pembangunan negara yang pesat telah
membuka peluang kepada negara untuk menganjurkan pelbagai temasya
sukan, seperti sukan Komanwel 1998. Setelah dua bulan, pasukan
Badminton Malaysia berjaya mengembalikan Piala Thomas ke pangkuan
kita. Pada 21 Julai 1992, kita berjaya pula mendapat kepercayaan
negara Komanwel untuk mengadakan sukan berkenaan di Kuala Lumpur
pada tahun 1998. Semua ini adalah kejayaan kita. Rakyat Malaysia
seharusnya berbangga dengan perkembangan ini. Tentulah ada sesuatu
yang istimewa yang menarik perhatian negara Komanwel mengenai
pencapaian Malaysia menyebabkan mereka mengundi menyokong kita
menjadi tuan rumah sukan itu. Sebagaimana yang diucapkan oleh Datuk
Alex Lee, selaku Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia di
Barcelona, "mesej yang kita sampaikan ialah jika tawaran Malaysia untuk menjadi tuan
rumah ditolak, maka negara Dunia Ketiga yang mana serta negara
membangun mana pula yang mungkin boleh".

Kejayaan Malaysia menduduki
tempat keempat di temasya Kuala Lumpur '98- Sukan Komanwel XVI (KL
'98) adalah sesuatu yang sungguh membanggakan, malah memeranjatkan
pengkritik. Siapa sangka atlit Malaysia berupaya mencatat kejayaan
di luar jangkaan pegawai sukan sendiri. Pencapaian 10 pingat emas,
14 perak, 12 gangsa di belakang juara keseluruhan Australia,
80-61-58; England, 36-47-53 dan Kanada 30-31-38 dianggap prestasi
terbaik dalam sejarah penyertaan negara. Pada Sukan Komanwel di
Victoria '94, Kanada, kita hanya menduduki tempat ke-13 dengan dua
emas, satu perak dan dua gangsa. Lebih manis lagi pencapaian itu
melepasi ramalan yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan
Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sebelum temasya sukan setiap empat
tahun itu bermula.


Kemajuan infrastruktur negara
telah sekali lagi memberi peluang kepada negara untuk menganjurkan
pelbagai temasya sukan yang lain. Wawasan Perdana Menteri untuk
membina sebuah litar lumba formula satu di Sepang, pada mulanya
telah mendapat pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak. Namun,
setelah terbinanya Litar F1 Sepang, Malaysia telah berjaya dengan
julung-julung kalinya mengadakan perlumbaan Formula Satu pada bulan
November 1998. Selain daripada itu, di Litar F1 Sepang juga,
Malaysia telah menganjurkan perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia.
Tidak cukup dengan itu, kini
Malaysia adalah diantara calon-calon yang akan dipilih sebagai tuan
rumah bagi temasya Sukan Asia 2006. Dengan kelengkapan dan
infrastruktur yang tercanggih, tidak hairanlah jika negara kita
terpilih sebagai tuan rumah. Pengiktirafan sebegini seharusnya
menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kejayaan yang akan ditempa oleh
atlit-atlit negara pada masa depan perlulah disertakan keazaman dan
ketabahan yang kental agar digeruni dan dihormati semua di peringkat
antarabangsa.

|
 |
 |