Kembali Ke Muka Hadapan Laman Web
 

 

Penerjunan Kutub Utara

Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara merupakan satu lagi usaha untuk membuktikan kemampuan Malaysia mencuba sesuatu yang mencabar dan berani bersaing dengan negara-negara maju di dunia.

Kita di kawasan tropika biasa tinggal di suhu yang panas, tidak ada salji, tidak ada ais tetapi sekarang kita ingin mencuba sesuatu yang tidak pernah disangka boleh dilakukan sebelum ini.

18 April - Enam belas orang rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, menjadi kumpulan orang Asia yang pertama terjun dari kapal terbang di Kutub Utara apabila mereka membuat penerjunan bebas di kawasan tersejuk dunia itu. 

Selain 16 penerjun, sebuah kereta Proton Wira juga akan 'diterjunkan' bersama-sama ke Kutub Utara untuk diuji kemampuan kereta buatan Malaysia.Kereta tersebut akan menjadi kereta kedua berada di Kutub Utara selepas kereta Volkswagen dan akan dibawa kembali untuk dipamerkan di negara ini.

Suhu Kutub Utara pada ketika itu berada pada paras 15 darjah celsius di bawah paras beku.Kumpulan ekspedisi itu mendarat di lapangan terbang ais Kutub Utara pada pukul 2.30 petang waktu tempatan.  

Suhu yang begitu sejuk di kawasan itu bermakna manusia yang tidak dilindungi dengan pakaian khas akan mati dalam masa beberapa minit sahaja.Anggota-anggota ekspedisi terpaksa memakai lampin untuk membuang air dan sut polar untuk melindungi diri daripada cuaca yang amat sejuk.


Mereka memakai sut terjunan yang direka khas untuk cuaca Kutub Utara. Sekiranya sut itu terkoyak dan udara menyerap pada tubuh walaupun satu sentimeter sekalipun anggota badan di bahagian itu tidak akan berfungsi lagi.Harga sut itu dianggarkan bernilai RM1,000 dan ia ditempah khas di Moscow.

Semasa berada di Khatanga, anggota-anggota ekspedisi itu melakukan latihan penerjunan pada paras 8,000 hingga 10,000 kaki setiap hari. Khatanga terletak kira-kira tiga jam perjalanan dengan kapal terbang dari Kutub Utara. 

Penerjunan menawan Kutub Utara dibahagikan kepada dua peringkat.

Kapal terbang yang membawa kumpulan 11 orang anggota ekspedisi itu bertolak dari Khatanga 19 April pada pukul 6.00 pagi waktu tempatan (bersamaan pukul 6.00 pagi waktu Malaysia) menggunakan pesawat Rusia AN74.Penerjunan itu akan diikuti oleh kumpulan kedua.

Setelah berjaya mendarat, mereka akan pulang ke Khatanga sebelum ke Moscow. Pasukan ekspedisi itu pulang ke tanah air pada 26 April.Pasukan Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara '98 berlepas ke Moscow, Rusia pada 1 April lalu bersama 16 penerjun dan tujuh kakitangan sokongan.

Ekspedisi yang julung kali diadakan itu diilhamkan daripada kejayaan rakyat Malaysia menakluk puncak gunung Everest tahun 1997yang lalu.Anggota-anggota ekspedisi itu terdiri daripada komando tentera laut, tentera udara, tentera darat, polis, jurugambar dan ahli kelab Payung Terjun Wilayah Persekutuan.