Kembali Ke Muka Hadapan Laman Web
 

 

Pelayaran Mengelilingi Dunia

Detik dan peristiwa yang menimpa Datuk Azhar, 190 hari berada di lautan 

 

2 Februari, Datuk Azhar berlepas dari Awana Porto Malai Langkawi untuk memenuhi cita-cita belayar mengeliling dunia di laluan baru timur-barat-timur secara bersendirian. Selepas 14 hari di lambung badai Datuk Azhar tiba di Tanjung Leewin selepas belayar sejauh 1,859 batu nautika. 

 


Pada 24 Mac, Datuk Azhar berjaya menamatkan satu pertiga daripada pelayaran sejauh 7,200 batu nautika. Angin kencang pada awal pagi 30 Mac hampir menenggelamkan Jalur Gemilang. Namun hasil kegigihan Datuk Azhar cabaran itu ditempuh dengan berani. 

 

12 hari kemudian Jalur Gemilang menerima tamparan hebat apabila tiang layar utama patah akibat dipukul ribut. Akibatnya beliau terkandas di Kepulauan Falklands. World Sailing Speed Record Council, WSSRC menukar percubaan Datuk Azhar sebagai pelayaran mengelilingi dunia dengan dibantu atau berhenti-henti menghala ke timur. 

Selepas kerja pemasangan tiang layar utama yang patah Oleh Pasukan Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia, Datuk Azhar kembali menyambung pelayarannya pada 26 Mei. 

Datuk Azhar terus menghadapi cabaran ribut ketika melalui Rio De Janeiro, Fernando De Noronha. Tepat jam 11.39 Datuk Azhar tiba di Awana Porto Malai, Langkawi sekaligus mencatat sejarah negara selepas 6 bulan mengharungi cabaran di samudera luas. 

 

Datuk Azhar mengakui kejayaannya menamatkan cabaran Jalur Gemilang mengelilingi dunia adalah hasil dorongan seluruh rakyat Malaysia. Untuk itu, beliau menghadiahkan kejayaannya itu kepada semua rakyat Malaysia. 

Menceritakan detik awal projek itu, Datuk Azhar mengakui sukar untuk mendapatkan penaja bagi membiayai projek berkenaan kerana projek ini jarang dilakukan oleh rakyat Malaysia. Namun dengan bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hasratnya itu tercapai juga. 


Selepas menyedari hasratnya itu turut menjadi cita-cita rakyat Malaysia, beliau berusaha sedaya upaya membawa Jalur Gemilang pulang ke tanahair.Selepas menghadapi pelbagai cabaran beliau akhirnya berjaya melepasinya. Sehubungan itu beliau berharap kejayaannya ini menjadi teladan kepada golongan remaja dan belia demi mengharumkan nama negara. 

 

Kejayaan Datuk Azhar itu sesuatu yang harus dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia. Keazaman dan semangatnya yang kental, untuk menghadapi cabaran ketika di lautan, dalam usahanya mengelilingi dunia harus diteladani.

Gambar-gambar lain:-