Kembali Ke Muka Hadapan Laman Web
 

 

 

 

Pencapaian Sukan Antarabangsa

 

 

Pencapaian negara dalam arena sukan dan pembangunan negara yang pesat telah membuka peluang kepada negara untuk menganjurkan pelbagai temasya sukan, seperti sukan Komanwel 1998. Setelah dua bulan, pasukan Badminton Malaysia berjaya mengembalikan Piala Thomas ke pangkuan kita. Pada 21 Julai 1992, kita berjaya pula mendapat kepercayaan negara Komanwel untuk mengadakan sukan berkenaan di Kuala Lumpur pada tahun 1998. Semua ini adalah kejayaan kita. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan perkembangan ini. Tentulah ada sesuatu yang istimewa yang menarik perhatian negara Komanwel mengenai pencapaian Malaysia menyebabkan mereka mengundi menyokong kita menjadi tuan rumah sukan itu. Sebagaimana yang diucapkan oleh Datuk Alex Lee, selaku Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia di Barcelona, "mesej yang kita  sampaikan ialah jika tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah ditolak, maka negara Dunia Ketiga yang mana serta negara membangun mana pula yang mungkin boleh".

 

 

 

 

            

Kejayaan Malaysia menduduki tempat keempat di temasya Kuala Lumpur '98- Sukan Komanwel XVI (KL '98) adalah sesuatu yang sungguh membanggakan, malah memeranjatkan pengkritik. Siapa sangka atlit Malaysia berupaya mencatat kejayaan di luar jangkaan pegawai sukan sendiri. Pencapaian 10 pingat emas, 14 perak, 12 gangsa di belakang juara keseluruhan Australia, 80-61-58; England, 36-47-53 dan Kanada 30-31-38 dianggap prestasi terbaik dalam sejarah penyertaan negara. Pada Sukan Komanwel di Victoria '94, Kanada, kita hanya menduduki tempat ke-13 dengan dua emas, satu perak dan dua gangsa. Lebih manis lagi pencapaian itu melepasi ramalan yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sebelum temasya sukan setiap empat tahun itu bermula.

 

            

 

 

Kemajuan infrastruktur negara telah sekali lagi memberi peluang kepada negara untuk menganjurkan pelbagai temasya sukan yang lain. Wawasan Perdana Menteri untuk membina sebuah litar lumba formula satu di Sepang, pada mulanya telah mendapat pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak. Namun, setelah terbinanya Litar F1 Sepang, Malaysia telah berjaya dengan julung-julung kalinya mengadakan perlumbaan Formula Satu pada bulan November 1998. Selain daripada itu, di Litar F1 Sepang juga, Malaysia telah menganjurkan perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia.

 

 

 

            

Tidak cukup dengan itu, kini Malaysia adalah diantara calon-calon yang akan dipilih sebagai tuan rumah bagi temasya Sukan Asia 2006. Dengan kelengkapan dan infrastruktur yang tercanggih, tidak hairanlah jika negara kita terpilih sebagai tuan rumah. Pengiktirafan sebegini seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kejayaan yang akan ditempa oleh atlit-atlit negara pada masa depan perlulah disertakan keazaman dan ketabahan yang kental agar digeruni dan dihormati semua di peringkat antarabangsa.