Kembali Ke Muka Hadapan Laman Web
 

 

Pejuang Kemerdekaan Abad ke-19

 

Semenanjung Tanah Melayu kaya dengan dengan sumber aslinya dan kedudukannya yang strategik, telah mendorong beberapa kuasa Barat untuk menguasainya. Pendudukan kuasa barat di Tanah Melayu bermula dengan penawanan Melaka oleh Portugis. Kemudian Melaka telah dikuasai oleh Belanda dan British. Sarawak pula ditadbir oleh keluarga Brooke, manakala Sabah terletak di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Campur tangan kuasa barat ini dalam hal-ehwal di negeri-negeri melayu, Sabah dan Sarawak telah mencetuskan tindak balas daripada masyarakat tempatan terhadap mereka.Pembaharuan yang diperkenalkan oleh pihak British di Tanah Melayu, pentadbiran Brooke di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah, telah memberi kesan terhadap sistem sosial, ekonomi dan politik tempatan.

 

Perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dirintis sejak penjajahan Portugis di Melaka pada 1511. Pengaruh Portugis bagaimanapun, mula berkurang pada tahun 1581 apabila Belanda tiba di Timur untuk bersaing dengannya dalam bidang perdagangan. Belanda berjaya menakluki Melaka pada 1641. Bagaimanapun Melaka ditakluki pula oleh British melalui perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Dasar campur tangan British bermula di Perak melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Seorang Residen dilantik sebagai penasihat raja-raja Melayu bagi mengurangkan kuasa raja-raja Melayu.Pelaksanaan dan pengenalan peraturan baru oleh pihak British telah mencetuskan gerakan tentangan daripada penduduk tempatan. Dari segi kepimpinan, gerakan penentangan ini boleh dibahagi kepada dua iaitu penentangan golongan pembesar dan penentangan golongan rakyat. Penentangan golongan pembesar berlaku di naning, Sarawak, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Pahang, sementara penentangan golongan rakyat pula berlaku di Kelantan dan Terengganu.

 

Tindakan British mengambil alih tugas pungutan cukai dan menghapuskan sistem hamba abdi yang menjadi amalan pembesar-pembesar Melayu menyebabkan timbulnya penentangan daripada pembesar Melayu seperti Datuk Maharaja Lela di Perak (juga membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak), Datuk Kelana di Sungai Ujong, Negeri Sembilan dan Datuk Bahaman di Pahang. Sistem pentadbiran British juga ditentang oleh pembesar-pembesar tempatan termasuk Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Sahak di Kelantan dan Abdul Rahman di Terengganu.

 

            

Daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa penjajahan, adalah jelas bahawa rakyat negara ini tidak rela tanah airnya dijajah. Semganat ini harus menjadi  pegangan bagi kita untuk terus memperjuangkan kebebasan dan menentang sebarang bentuk penjajahan.